Sunday, 6 August 2017

Pertubuhan Kelab Kebajikan Polis Daerah



 Pertubuhan Kelab Kebajikan Polis Daerah


Bismillahhirahhamnirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera, salam 1 malaysia dan salam 1 pasukan.

Yang berusaha,
Saudara / saudari pengerusi majlis

Yang dihormati,
(Nama penuh VVIP)
Merangkap naib yang dipertua kelab kebajikan polis daerah
Timbalan Ketua Polis Daerah (Pangkat VVIP)

Yang dihormati,
Ketua-ketua Bahagian,
Ketua-ketua Polis Balai,
Ahli jawatankuasa Kelab Kebajikan Polis Daerah
Tuan-tuan dan puan-puan.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

1.         Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat ilahi kerana dengan izinnya dapat kita bersama –sama hadir pada majlis pertubuhan Kelab Kebajikan Polis Daerah pada pagi ini sepertimana yang dirancangkan.

2.         Semenjak saya mengambil alih jawatan selaku Ketua Polis Daerah, antara perkara utama yang saya tekankan adalah mengenai aspek kebajikan dan penglibatan aktif warga kerja IPD dalam aktiviti-aktiviti sosial, sukan, rekreasi, pendidikan, kebudayaan serta keagamaan. Penekanan dalam aspek tersebut adalah penting dalam melahirkan warga kerja yang sentiasa ceria, aktif, bersemangat, berdisiplin dan berfikiran positif. Nilai-nilai ini secara tidak langsung akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan warga kerja IPD dalam menjalankan tugas seharian.

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

3.         Ketahuilah, cabaran yang berbeza pada hari ini menuntut PDRM supaya berubah seiring dengan peredaran zaman. Justeru itu, aspek kebajikan adalah penting dan disifatkan sebagai releven pada masa kini. Penubuhan Kelab Kebajikan Polis Daerah difikirkan sebagai sesuatu yang menjadi kemestian dan keperluan untuk menjaga dan membantu warga kerja IPD khasnya dari aspek kebajikan.

4.         Matlamat penubuhan kelab kebajikan ini amat dititiberatkan dan merupakan asas kepada kelab. Perkara ini memastikan kelab kebajikan polis daerah mengikut hala tuju dan berada dilandasan yang betul dalam membantu warga kerja IPD. Apalah ertinya penubuhan sesebuah kelab jika ia gagal memainkan peranannya. Jangan jadikan sesebuah kelab seperti enau di dalam belukar, hanya melepaskan pucuk masing-masing sedangkan nun jauh di hadapannya tersirat seribu satu macam agenda yang belum diterokai. Tujuan/ matlamat penubuhan kelab kebajikan polis daerah adalah :-

4.1.     Mengukuhkan ikatan muhibah dan kerjasama antara ahli
4.2.     Menganjurkan kegiatan sukan, rekreasi, sosial, kebajikan, pendidikan, kebudayaan dan keagamaan di kalangan ahli
4.3.     Memberi bantuan/ sumbangan kepada ahli serta keluarga dalam aspek khairat, pendidikan dan kebajikan
4.4.     Menjalinkan hubungan rapat di kalangan masyarakat setempat melalui aktiviti/ riadah

5.         Kejayaan sesebuah kelab bukan sahaja terletak kepada daya kepimpinan presidennya yang dinamik serta karsimatik tetapi memerlukan sokongan yang padu dari kesemua ahli-ahli yang menganggotai kelab tersebut. Seperti mana kata yang bijak bestari, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Selain dari sokongan yang padu ahli-ahli kelab juga harus mempunyai perancangan yang jitu bagi merancang keperlbagaian aktiviti sepanjang tahun. Apa yang menjadi sinonim kelab-kelab yang sedia ada kegiatan yang dirancang amat cenderung kepada “seasonal activities” atau kegiatan bermusim mengikut takwim. Apa yang membezakan kejayaan sesebuah kelab dengan yang lain ialah idea yang “noble” dalam merancang atau mengadakan suatu aktiviti yang bukan sahaja belum atau tidak pernah diadakan malah ia juga mampu memberikan nilai tambahan baik kepada keanggotaan ahli-ahlinya tetapi juga kepada masyarakat di sekelilingnya.

6.         Di samping penganjuran aktiviti-aktiviti sukan, reakreasi, sosial, kebajikan, pendidikan, kebudayaan dan keagamaan, saya juga ingin melihat ahli jawatankuasa kelab kebajikan polis daerah memainkan peranan secara lebih pro-aktif dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti kebajikan kepada ahli  kelab kebajikan polis daerah yang ditimpa bencana dan kesusahan. Dalam hal ini, saya berharap agar sumbangan yang diberikan ini dibuat secara konsisten dan menyeluruh kepada setiap ahli yang berhak untuk menerimanya. Sumbangan yang mungkin tidak seberapa nilainya ini sedikit sebanyak akan membantu meringankan beban warga kerja IPD yang memerlukan seterusnya akan membuat mereka lebih dihargai dan mewujudkan “sense of belongging” terhadap pasukan.

8.         Saya berharap setiap ahli jawatankuasa dan ahli-ahli kelab memainkan peranan yang proaktif dan dinamik dengan semangat penuh toleransi, saling hormat-menghormati bekerja sebagai satu pasukan. Jangan biarkan budaya parasit meresap masuk di dalam kelab kebajikan polis daerah. Jika parasit ini merebak dan tidak ditangani dengan segera, ia akan menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan dan lambat-laun kelab akan berkubur begitu sahaja bagai angin lalu.

9.         Sebelum mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatan kuasa program kerana telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran majlis kita pada pagi ini.

“bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.
Sesungguhnya “muafakat itu membawa berkat”.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah


Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah




Bismillahhirahhamnirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera dan salam 1 pasukan

Yang berusaha,
 saudara / saudari pengerusi majlis

Yang dihormati,
(Nama Penuh VVIP)
(Pangkat VVIP)

Ketua-ketua bahagian,
Ketua-ketua polis balai,
Pegawai-pegawai kanan
Seterusnya hadirin yang saya hormati sekalian.

1.         Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T, di atas taufik dan hidayahnya  jua, kita dapat bersama-sama  di Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis bagi tahun 2017. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada urusetia dan semua pemain yang turut serta dalam pertandingan yang diadakan pada hari ini. Saya amat menghargai penglibatan tuan-tuan dan puan-puan dalam menjayakan pertandingan ini sejajar dalam usaha mewujudkan perkhidmatan awam yang bukan sahaja berkualiti dalam penyampaian perkhidmatan, malah aktif dalam sukan dan riadah.

Hadirin yang dihormati sekalian

2.         Aktiviti sukan dan riadah merupakan wahana kepada kita dalam mencari dan menggilap bakat disamping mengeratkan keakraban di kalangan warga IPD. Saya percaya pertandingan yang dianjurkan ini mampu melatih dan melahirkan pemain-pemain futsal yang akan mengukir nama IPD di peringkat kontinjen mahupun di peringkat kebangsaan. Disamping kesihatan merupakan faktor yang penting dalam menjamin kualiti kerja yang baik, pertandingan ini juga bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
”akal yang sihat hadir dari badan yang cergas”.
Tanpa kesihatan yang baik, manusia tidak akan dapat berfikir dengan waras dan bercelaru pemikirannya menyebabkan mereka mengambil keputusan yang tidak matang dan akhirnya membinasakan diri mereka sendiri. Maka berlakulah gejala tidak sihat dan jenayah yang berterusan. Ini jelas membuktikan betapa pentingnya aturan hidup ini disulami dengan aktiviti sukan dan rekreasi yang akhirnya akan mengharmonikan setiap tugasan yang dipikul ke arah kecemerlangan.
 
3.         Rebutlah peluang ini, kerana aktiviti sukan juga akan dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan mutu hidup dan kesejahteraan masyarakat seterusnya membentuk insan yang berkualiti. Di samping itu,  ia  juga akan mempamerkan nilai-nilai dan semangat kesukanan serta daya juang yang begitu baik. Ini seterusnya dapat membantu melahirkan warga kerja yang sihat, cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran di masa hadapan.

Hadirin sekalian,
4.         Pertandingan futsal ini merupakan program tahunan yang bertujuan mencungkil bakat warga ipd sungai buloh selain dapat merapatkan perpaduan antara warga IPD dan seterusnya mewujudkan warga kerja dan keluarga jabatan yang cergas dan cerdas serta dapat memikul tanggungjawab yang diamanahkan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

5.         Saya berharap kejohanan ini bukanlah sekadar untuk rekreasi dan kecergasan semata-mata malah diharapkan dapat melahirkan warga masyarakat yang bertanggungjawab, dinamik dan cemerlang dalam pelbagai aspek. Ini kerana dalam sukan yang dipertandingkan ini mempunyai peraturan-peraturan yang telah dipersetujui oleh semua pihak yang bertanding. Mereka yang melanggar peraturan akan dihukum berdasarkan peraturan sedia ada. Di dalam sukan juga mengandungi konsep ”fair-play”, persefahaman, disiplin, taat, daya saing, perjuangan, persediaan strategi ke arah memenangi sesuatu perlawanan.

Hadirin yang dihormati sekalian

6.         Tidak  dapat  dinafikan,  kemenangan  memanglah  penting  dalam  setiap pertandingan,  tetapi  yang  lebih  utama  ialah  mengambil  bahagian, mengutamakan  semangat  kesukanan  dan  matlamat  bersukan  itu  sendiri iaitu untuk mencari kesihatan fizikal dan kesejahteraan diri. Sesungguhnya saya  amat  berharap  agar  kita  semua  dapat  menemui,  merasai  dan mengecapi  matlamat  yang  dicari  serta  semangat  persaudaraan  di  antara satu sama lain.

7.         Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan ingin saya ucapkan kepada semua terutama  kepada  pihak penganjur di  atas  penganjuran  Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah tahun 2017 ini dengan penuh jayanya. Bagi pasukan-pasukan yang menang nanti, saya  mengucapkan tahniah  dan  kepada  yang  tidak berjaya, kita cuba dan jumpa lagi pada tahun hadapan. Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah semangat kesukanan yang ditunjukkan serta peluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan dalam suasana yang begitu santai  dan  mesra.  Saya berharap agar aktiviti seperti  ini  terus  menjadi tradisi pada masa yang akan datang.
8.         Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya merasmikan dan menutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah tahun 2017.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kayuhan Ceria Bandar Puncak Alam 2.0


Kayuhan Ceria Bandar Puncak Alam 2.0



 

Bismillahhirahhamnirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera dan salam 1 pasukan

Yang berusaha,
 saudara / saudari pengerusi majlis

Yang dihormati,
(Nama VVIP)
(Pangkat VVIP)

(Nyatakan Pangkat VIP-VIP lain yang hadir)
Contohnya:
Pengerusi Persatuan Penduduk (Kawasan Mana)
Pengerusi Kawasan Rumah Tetangga (KRT) (Kawasan mana)
Dan lain-lain lagi

Seterusnya hadirin yang saya hormati sekalian.
1.         Terlebih dahulu saya ingin merafakkan kesyukuran ke hadrat allah s.w.t kerana dengan izin-nya dapat kita bertemu di program kayuhan ceria bandar pucak alam 2.0 sempena hari polis ke-210 di pagi yang indah ini. Syabas dan tahniah saya ucapakan kepada jawatankuasa pengelola kerana berjaya menganjurkan kejohanan ini. Pengelolaan ini adalah satu pengiktirafan di atas kebolehan dan kemampuan penganjur untuk mengurus serta mengendalikan satu acara sukan yang besar.
2.         Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang turut hadir bagi menjayakan program kayuhan ceria bandar pucak alam 2.0 sempena hari polis ke-210 pada pagi ini. Saya yakin, kehadiran anda pada pagi ini menunjukkan keprihatinan serta komitmen padu kita untuk sama-sama menyemarakkan lagi semangat kesukanan di dalam diri kita.

Hadirin yang dihormati

3.         Tidak dapat dinafikan pada ketika ini, sukan berbasikal adalah antara sukan yang paling digemari oleh ramai pihak. Siri-siri kejayaan yang dicetuskan beberapa pelumba khususnya di sukan olimpik, sukan asia dan kejohanan trek sedunia telah menjadi pemangkin untuk menyemarakkan sukan berbasikal di negara ini.

4.         Saya percaya, warga yang sihat, cergas dan berdisiplin akan menyumbang kepada prestasi dan peningkatan produktiviti untuk diri dan negara. Sudah tentu semua ini tidak terhasil seperti yang ‘bulat datang bergolek yang pipih terbang melayang’ tetapi berkat kerja keras dan usaha berterusan daripada semua pihak mampu memastikan tujuan dan kesepaduan kita dapat direalisasikan.

Hadirin yang dihormati

5.         Saya yakin program kayuhan berbasikal yang berlangsung kali ini mampu untuk memupuk semangat kerjasama serta setiakawan dalam suasana yang penuh muhibbah di kalangan warga ipd sungai buloh dan masyarakat di puncak alam. Program ini juga akan menjadi satu landasan penting bagi semua pihak  yang terlibat untuk saling bermesra dan lebih mengenali antara satu sama lain. Sememangnya tujuan ini amat baik dan dialu-alukan kerana adalah penting bagi semua pihak di daerah sungai buloh dapat berfungsi sebagai sebuah pasukan yang mantap dan bersatu padu dalam apa jua keadaan.

6.         Sesungguhnya, kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dapat menyemarakkan lagi semangat berpasukan. Harus diingatkan bahawa tanpa kerjasama erat dan kesepaduan daripada semua pihak, segala program yang dirancang tidak akan berjaya mencapai matlamatnya.

7.         Kepada semua peserta yang mengambil bahagian gunalah kesempatan ini untuk saling berkenal-kenalan dan membina jalinan kerjasama erat. Saya berdoa semoga program kayuhan ini akan berjalan dengan meriah dan sempurna berlandaskan semangat kesukanan yang tulen.

8.         Dengan lafaz bismillahir-rahmanir-rahim, saya merasmikan kayuhan ceria bandar puncak alam 2.0 sempena hari polis ke-210.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.