Sunday, 6 August 2017

Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah


Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah




Bismillahhirahhamnirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera dan salam 1 pasukan

Yang berusaha,
 saudara / saudari pengerusi majlis

Yang dihormati,
(Nama Penuh VVIP)
(Pangkat VVIP)

Ketua-ketua bahagian,
Ketua-ketua polis balai,
Pegawai-pegawai kanan
Seterusnya hadirin yang saya hormati sekalian.

1.         Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T, di atas taufik dan hidayahnya  jua, kita dapat bersama-sama  di Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis bagi tahun 2017. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada urusetia dan semua pemain yang turut serta dalam pertandingan yang diadakan pada hari ini. Saya amat menghargai penglibatan tuan-tuan dan puan-puan dalam menjayakan pertandingan ini sejajar dalam usaha mewujudkan perkhidmatan awam yang bukan sahaja berkualiti dalam penyampaian perkhidmatan, malah aktif dalam sukan dan riadah.

Hadirin yang dihormati sekalian

2.         Aktiviti sukan dan riadah merupakan wahana kepada kita dalam mencari dan menggilap bakat disamping mengeratkan keakraban di kalangan warga IPD. Saya percaya pertandingan yang dianjurkan ini mampu melatih dan melahirkan pemain-pemain futsal yang akan mengukir nama IPD di peringkat kontinjen mahupun di peringkat kebangsaan. Disamping kesihatan merupakan faktor yang penting dalam menjamin kualiti kerja yang baik, pertandingan ini juga bertepatan dengan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
”akal yang sihat hadir dari badan yang cergas”.
Tanpa kesihatan yang baik, manusia tidak akan dapat berfikir dengan waras dan bercelaru pemikirannya menyebabkan mereka mengambil keputusan yang tidak matang dan akhirnya membinasakan diri mereka sendiri. Maka berlakulah gejala tidak sihat dan jenayah yang berterusan. Ini jelas membuktikan betapa pentingnya aturan hidup ini disulami dengan aktiviti sukan dan rekreasi yang akhirnya akan mengharmonikan setiap tugasan yang dipikul ke arah kecemerlangan.
 
3.         Rebutlah peluang ini, kerana aktiviti sukan juga akan dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan mutu hidup dan kesejahteraan masyarakat seterusnya membentuk insan yang berkualiti. Di samping itu,  ia  juga akan mempamerkan nilai-nilai dan semangat kesukanan serta daya juang yang begitu baik. Ini seterusnya dapat membantu melahirkan warga kerja yang sihat, cergas, aktif dan produktif dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi cabaran di masa hadapan.

Hadirin sekalian,
4.         Pertandingan futsal ini merupakan program tahunan yang bertujuan mencungkil bakat warga ipd sungai buloh selain dapat merapatkan perpaduan antara warga IPD dan seterusnya mewujudkan warga kerja dan keluarga jabatan yang cergas dan cerdas serta dapat memikul tanggungjawab yang diamanahkan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

5.         Saya berharap kejohanan ini bukanlah sekadar untuk rekreasi dan kecergasan semata-mata malah diharapkan dapat melahirkan warga masyarakat yang bertanggungjawab, dinamik dan cemerlang dalam pelbagai aspek. Ini kerana dalam sukan yang dipertandingkan ini mempunyai peraturan-peraturan yang telah dipersetujui oleh semua pihak yang bertanding. Mereka yang melanggar peraturan akan dihukum berdasarkan peraturan sedia ada. Di dalam sukan juga mengandungi konsep ”fair-play”, persefahaman, disiplin, taat, daya saing, perjuangan, persediaan strategi ke arah memenangi sesuatu perlawanan.

Hadirin yang dihormati sekalian

6.         Tidak  dapat  dinafikan,  kemenangan  memanglah  penting  dalam  setiap pertandingan,  tetapi  yang  lebih  utama  ialah  mengambil  bahagian, mengutamakan  semangat  kesukanan  dan  matlamat  bersukan  itu  sendiri iaitu untuk mencari kesihatan fizikal dan kesejahteraan diri. Sesungguhnya saya  amat  berharap  agar  kita  semua  dapat  menemui,  merasai  dan mengecapi  matlamat  yang  dicari  serta  semangat  persaudaraan  di  antara satu sama lain.

7.         Akhir kata, setinggi-tinggi penghargaan ingin saya ucapkan kepada semua terutama  kepada  pihak penganjur di  atas  penganjuran  Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah tahun 2017 ini dengan penuh jayanya. Bagi pasukan-pasukan yang menang nanti, saya  mengucapkan tahniah  dan  kepada  yang  tidak berjaya, kita cuba dan jumpa lagi pada tahun hadapan. Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah semangat kesukanan yang ditunjukkan serta peluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan dalam suasana yang begitu santai  dan  mesra.  Saya berharap agar aktiviti seperti  ini  terus  menjadi tradisi pada masa yang akan datang.
8.         Dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim, saya merasmikan dan menutup Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Daerah tahun 2017.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment